Friday 30 May 2014

Ulasan Kelas Online Blog

Bismillah. Alhamdulillah penghulu segala hari. Semoga hari ini lebih baik dari semalam dan dibukakan seluas-luasnya pintu rezeki dan rahmat kepada kita. Definisi blog pada pandangan saya ialah berisi tulisan, artikel atau informasi bermanfaat yang diupdate (diperbaharui) secara teratur diakses secara online baik untuk umum mahupun peribadi. Blog juga kombinasi sesebuah teks, gambar, video dan link ke satu blog ke blog. Blog juga laman yang menempatkan pelbagai topik samaada berdasarkan minat, kemahiran atau apa untuk dikongsi. Boleh juga dikatakan sebagai diari online. Kini dengan blog juga dapat menjana pendapatan. Zaman sekarang semua maklumat hanya dihujung jari sahaja. 

Oleh itu, saya mengambil peluang ini tanpa ragu-ragu kerana dengan kelas online blog banyak faedahnya. Bisnes online sudah menjadi fenomena luar biasa pada masa kini seiring perkembangan teknologi dan kemudahan internet yang semakin meluas. Angan- angan saya memang tinggi dan saya berharap supaya menjadi WAHM yang berjaya seperti yang diharapkan Insya Allah, doakan impian saya menjadi kenyataan yer. 

Niat memang sudah lama untuk belajar blog dan baru sekarang impian dapat direalisasikan.Yang bestnya Kelas Online ini kita tiada had masa yang ditetapkan tapi kalau cepat hasil cepatlah menuai kan! Masa untuk buat blog pun mengikut masa terluang dan sangat fleksible. Pada mulanya saya membeli dua ebook dari Anys Idayu untuk bahan bacaan saya, oleh kerana tidak puas membaca ebook jadi saya daftarkakan diri dengan Anys Idayu untuk belajar. Teruja sangat dapat belajar dan berblog kerana ini merupakan pengalaman baru bagi saya. Yuran Rm 200 dengan percuma 4 ebook memang sangat berbaloi dengan ilmu dan panduan yang berguna. 

Kini, saya masih giat menuntut ilmu dan saya berharap supaya dapat menghasilkan blog yang berkualiti. Bukan itu sahaja, peserta kelas blog akan di invite ke grup Belajar Asas Blog. Di samping dapat menambah kenalan baru terdapat juga info-info dan tips dari ahli lain. Oleh itu, mulakan sekarang sebelum terlambat.

Thursday 29 May 2014

Ulasan Ebook Super WAHM Super Mom

Saya ingin berkongsi keseronokan dan kegembiraan dengan pelbagai panduan yang saya perolehi daripada eboks Super WAHM Super Mom. Ebook ini dapat memotivasikan saya dengan pelbagai kejayaan yang ditujukkan oleh setiap wanita dengan pelbagai cabaran dan mampu mengatasi setiap dugaaan yang ditempuhi.

Bekerja dari rumah tidak sama seperti makan gaji di pejabat kerana di rumah banyak gangguan, dan ianya memerlukan motivasi yang tinggi. Jadi, melalui ebook ini banyak cara untuk  mengatasi setiap cabaran seperti kesabaran, kekuatan mental, fizikal dan jiwa.Setiap kejayaan yang dipaparkan dalam ebook ini secara tidak langsung mambangkitkan semangat saya supaya terus berusaha dan memajukan diri. Seperti yang selalu kita dengar usaha itu tangga kejayaan. Bagi mencapai sesuatu kejayaan perlulah mengumpul ilmu sebanyak banyak.


Melalui ebook Super WAHM Super Mom banyak ilmu yang bermanfaat boleh diaplikasikan contonhnya pelbagai bisnes yang boleh dicuba dan cara memperkembangan perniagaan. Oleh itu, apa yang penting adalah mempunyai minat yang mendalam, tekad untuk berubah dan selalu berfikiran positif pasti diiringi kejayaan. Apapun niat mestilah betul dan insyaAllah segalanya akan dipermudahkan. 

Wednesday 28 May 2014

Cerita Hati

Cerita Hati
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah swt atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Nabi Muhammad saw. Mulakan pagi dengan bismillah dan pagi yang ceria. Semoga hari ini lebih baik dari hari semalam. Cerita hati ini mengenai status saya sebagai surirumah. Seperti sedia maklum surirumah merupakan satu-satu pekerjaan yang tiada noktahnya yang kadang-kadang menghadapi tekanan mana tidaknya, bangun seawal pagi untuk menyediakan sarapan pagi dan melakukan apa yang patut dan tugas ini akan sentiasa berlarutan sehingga malam.

Nampak memang senangkan? Tapi kerja surirumah adalah paling susah dan perlukan kesabaran yang tinggi dengan melayan kerenah anak-anak, mengemas rumah dan bermacam- macam kena buat. Maka bolehlah dianggap surirumah sebagai superwomen ditambah lagi bekerja. Apapun surirumah adalah pekerjaan yang paling mulia dan usahlah merasa rendah diri. Oleh itu, para surirumah senyum dan bergembiralah kerana surirumah ibarat sedang berkarya dalam ruangan meniti pahala. Surirumah juga merupakan satu ibadat dan senang mengutip pahala kerana setiap yang dilakukan pasti dikira Allah. Contohnya menjaga makan dan minum anak dan suami dan lain-lain. Di samping itu, dapat membahagiakan anak-anak dan suami. 


Permata Hati

Hari ini, saya ingin kongsikan tentang permata hati yang tersayang. Sebenarnya saya jarang bercerita tentang anak-anak di alam maya. Rania Zara binti Mohd Zulkifli nama diberi berumur 5 tahun dan kini bersekolah di Tadika Pasti An- Nur. Panggilan di dalam keluarga Kak Long dan panggilan Rania dikalangan kawan- kawan sekolah. Saya menghantar ke sekolah ketika berumur 4 tahun lagi tujuanya supaya Rania belajar berkawan. Semalam ada perjumpaan di sekolah dan penyerahan buku rekod, Allahamdulliah mendapat keputusan yang membanggakan saya dan suami. Karakter Rania yang boleh saya ceritakan adalah seorang mendengar kata, cepat memohon maaf jika melakukan kesalahan atau melakukan pekara yang saya tidak suka. Rania juga seorang yang ceria dan mudah ketawa, suka bercakap dan senang  dipujuk.

Anak saya yang kedua, Rayyan zafran bin Mohd Zulkifli nama diberi dan berumur 3 tahun. Nama panggilan Rayyan dan mempunyai karekter yang sangat berbeza dengan kakaknya. Cepat sangat memberontak, letih handak layan, kadang-kadang mendatangkan marah. Apapun karenah anak-anak adalah ujian dari Allah untuk menguji kesabaran dan keimanan manusia kepada Allah. Bagi memperbaiki diri dan menambahkan ilmu sebagai seorang ibu, saya menggunakan khidmat encik google. Sabar dan doa adalah kaedah penting yang mesti diamalkan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Zaman dahulu, rotan digunakan untuk mengajar anak berbeza kini. Mengajar anak kecil adalah umpama mengukir di atas batu dan ukiran jenis apakah yang kita hasilkan atau tingglkan? Sebab itu, tahun-tahun pertama seorang anak itu dipanggil tahun EMAS.

Anak adalah anugerah kepada setiap ibu bapa. Walau senakal mana pun pasti ada cara yang sesuai bagi mendidik dan menangani tahap kenakalan bagi tahap umur. Dalam islam sendiri menggariskan langkah-langkah yang sesuai untuk menangani masalah ini. Paling penting ialah doa yang memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia ke arah mewujudkan baiti jannati. Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak dan tidak mengatakan pekara yang buruk-buruk kerana kata-kata seorang ibu adalah satu doa. Doa mstilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara membentuk perbadi anak.


Monday 26 May 2014

Warna Kulit vs Warna Pakaian

Warna Kulit vs Warna Pakaian

Suka sangat baca Harian Metro 26 Mei 2014 bersamaan hari Isnin mengenai Warna Kulit vs Warna Pakaian. Boleh dijadikan panduan untuk saya dan untuk semua supaya tidak tersalah pilih warna. Saya memang mengemari warna cerah seperti pink, merah, kuning dan putih. Semua orang pasti ingin kelihatan bergaya dan tampil menawan apabila ingin ke tempat kerja atau keluar kemana-mana. Namun kadang-kala warna pakaian yang dipilih kelihatan tidak sesuai dengan warna kulit. Berikut adalah tips untuk memilih warna pakaian mengikut warna kulit:

Kulit putih
Bagi mereka yang memiliki kulit yang putih sangat sesuai mengenakan warna pastel seperti coklat muda, biru muda, atau merah jambu. Namun, mereka juga tiada masalah dengan warna-warna yang lain.
Kulit kuning langsat 
Bagi mereka yang memiliki warna kulit kuning langsat disarankan untuk mengenakan warna-warna tropika seperti jingga, hijau, merah, kuning dan biru. Ianya akan menyerlahkan lagi penampilan si pemilik kulit kuning langsat.
Kulit sawo matang
Mereka yang berkulit sawo matang sesuai dengan warna-warna lembut, namun jangan ragu-ragu untuk mengenakan warna garang seperti unggu dan maroon.
Kulit gelap eksotik
Bagi yang berkulit gelap eksotik serlahkan gaya anda dengan warna-warna seperti busana berwarna tanah yang lembut. Malah anda juga boleh mencuba warna-warna seperti merah jambu lembut, kuning lembut dan sebagainya.

Jika tersalah memilih warna pakaian akan menyebabkan kulit kelihatan kusam. Kelihatan lebih tua daripada usia yang sebenar. Menyebabkan kelihatan berisi dan besar berbanding biasa. Menyerlahkan warna gigi yang mungkin kekuningan. Kecantikan semulajadi akan terselindung.






Di Sebalik Senyuman


Mulakan setiap hari dengan senyuman kerana senyuman berupaya menceriakan hidup kita dan mampu memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut tersenyum. Tidak mustahil, ada orang yang sanggup berlatih untuk senyum setiap hari. Ini bagi mengelakkan diri daripada dilebal sebgai sembong. Pekara yang paling utama mengenai senyuman adalah merupakan satu sedekah. Jangan kedekut untuk memberi senyuman. Ukirlah senyuman dari hati. Senyuman adalah perkara yang mudah. Jadi mengapa menjadikannya perkara yang susah?

Sebenarnya, senyuman bermula sejak bayi lagi dan biasanya bayi akan tersenyum ketika tidur. Secara tidak langsung ia membuatkan kita turut tersenyum. Apabila berusia 3 bulan, bayi akan tersenyum sebagai reaksi pada orang disekelilinya. Senyuman adalah ekspresi yang mudah dilihat berbanding ekspresi lain. Dengan senyuman, ia seolah-olah mengenali orang yang tidak dikenali.

Senyuman adalah anugerah Allah swt untuk semua manusia dan disebalik senyuman banyak manfaat. Salah satunya, pesona semulajadi dan merupakan solekan paling indah khusus buat kaum wanita. Kata orang, senyum adalah alat solek terbaik seorang wanita. Senyum boleh membuatkan wajah kita lebih cerah dan menyenangkan sesiapa yang melihat, walaupun tidak menggunakan alat solek. Secara tidak langsung, ia akan membuatkan orang lain lebih mudah untuk mendekati kita.

Di samping itu, dengan senyuman kita nampak lebih muda. Dengan kata lain, senyuman boleh menyihatkan badan dan fikiran. Senyuman boleh membuatkan mood lebih baik dan bahagia. Seseorang yang murah senyuman akan memancarkan aura yang lebih positif, lebih mudah percaya dan sukses. Jika sedang ditemuduga, senyumanlah yang menjadi ubat ketegangan sekaligus membuatkan lebih berkeyakinan.

Senyuman juga mampu memberi kebahagian kepada orang lain berbanding murung atau bermasam muka. Dengan satu senyuman, sudah mampu membuat orang gembira terutamanya teman-teman yang rapat dengan kita. Mereka rasa senang ketika bersama kita dan bahagia serta merasakan sangat istemewa di hati mereka. Oleh itu, selalulah mengukir senyuman.



Sunday 25 May 2014

Tips Membeli Kosmetik


Hari ini saya ingin kongsikan tips membeli kosmetik yang saya perolehi dari majalah Mingguan Wanita. Saya memang gemar membaca majalah Mingguan Wanita kerana banyak maklumat yang boleh dijadikan panduan. Sebenarnya tidak semua alat kosmetik yang dibeli mestilah berjenama dan berharga mahal. Adakala produk yang murah juga sama kualitinya dengan produk yang mahal. Jadi, kita harus berfikir sebelum membeli produk kosmetik dan kecantikan. Terdapat beberapa tips ringkas yang dapat saya kongsikan melalui Majalah Wanita ketika membeli barangan kosmetik dan kecantikan.

Alas bedak adalah lebih baik membeli produk yang berkualiti tinggi kerana bedak asas sangat mempengaruhi kulit dan penampilan wajah. Sebaiknya gunakan produk yang mempunyai warna dasar kuning. Pilihlah bedak asas yang berfomula ringan, bebas minyak, hypoallergenic dan diuji oleh pakar klinikal.

Bagi perona mata pula, tahukah bahawa produk perona mata yang murah mengandungi kandungan pigmen yang lebih sedikit dengan perona mata yang berharga mahal. Bagi memdapatkan warna yang lebih terang campurkan perona mata dengan setitis air sebelum disapukan kepada kelopak mata.

Manakala pembersih muka berfungsi untuk membersihkan kulit dari sisa kosmetik dan kotoran- kotoran yang melekat pada wajah. Berhati -hati memilih produk yang sesuai untuk kulit wajah dan jika sesuai dengan sesuatu produk jangan terburu- buru menukar produk lain sebaliknya teruskan penggunaan produk tersebut. Tidak mengapa jika produk yang dibeli tidak berjenama apa yang penting , produk tersebut sesuai dengan kulit wajah.

Tidak ketingggalan juga dengan penggunaan scrub. Scrub digunakan unuk membuang sel-sel kulit mati yang melekat pada kulit tubuh dan badan. Anda perlu berhati-hati ketika membeli sesuatu produk kosmetik dan kecantikan. Pastikan membeli produk kecantikan yang sesuai dengan kulit kita. Caranya mudah, sebelum membeli sesuatu produk, pastikan mencuba terlebih dahulu (jika ada contoh) dibahagian tapak tangan.
Pastikan toner juga yang dipilih tidak mengandungi  alkohol kerana produk yang mengandungi alkohol akan merosakkan kulit. Di samping itu, pelempab haruslah dipilih yang mengandungi penapis suria(spf), antioksida dan vitamin A,C atau E. Bagi menjimatkan ketika membeli alat kosmetik, pastikan produk yang pelbagai fungsi. Sebagai contoh pilihlah alat mekap yang berfungsi untuk dua keadaan misalnya pembersih muka merangkap penyegar kulit wajah.


Oleh itu, pastikan menyediakan bajet untuk membeli barangan kosmetik, berfikir sebelum membeli jangan membeli secara melulu atau mengikut kawan-kawan. Dengan berkongsian ini dapat menjadi panduan ketika membeli kosmetik. Barang yang murah tidak semuanya tidak berkualiti dan barang yang mahal tidak semuanya berkualiti. Dengan ini haruslah bijak memilih. 

Friday 23 May 2014

Petua suri

PETUA TENTANG  SAYUR-SAYURAN.
Terlintas difikiran untuk berkongsi petua di dapur  tentang sayur-sayuran kepada adik, kakak, ibu dan yang pastinya surirumah ya. Di sini terdapat petua ingin saya kongsikan tentang memilih sayur-sayuran dan untuk  menjaga kesegarannya. Sebenarnya petua ini saya perolehi daripada buku yang ditulis oleh A.Azizan.  Jadi sedikit sebanyak saya ingin kongsikan buat semua dan menjadi panduan untuk saya. Walaupun sudah lama mengendalikan dapur, masih banyak yang belum saya ketahui. Petua ini sangat membantu.
Kobis  - Pilih jenis yang ringan dan rongganya besar-besaran
Sawi -  Pilih sawi yang berdaun lebar tetapi batangnya kecil
Timun - Pilih timun yang lurus dan pangkalnya kurang warna hijau tua.
Tomato – Pilih yang warnanya kehijau-hijauan sedikit. Buah tomato itu jangan dibasuh tetapi        simpan dalam bekas yang kering. Bekas tersebut tidak ditutup dan tiak terkena sinaran matahari.
Ubi keledek – Pilih buah yang lurus dan kulitnya putih bersih.
Bendi – Pastikan hujungnya lembut.
Tauge – Tauge akan menjadi segar walaupun berhari-hari sekiranya dicampurkan dengan limau   
nipis ke dalam air tempat merendam tauge tetapi pastikan ditukar setiap hari atau untuk
manjadikan tauge segar seberapa lama masukkan tauge ke dalam air yang dicampurkan sedikit
garam kemudian simpan di dalam peti ais.
Mengelakkan terung menjadi hitam – Terung memang mudah menjadi hitam lebam kalau
lambat dimasak selepas dipotong. Untuk mengelakkannya, ambil garam dengan sedikit air
rendamkan terung tersebut.
Menyegarkan sayur-sayuran - Sayuran walau disimpan di dalam peti ais beberapa hari, kesegarannya akan hilang. Untuk kembalikan kesegarannya rendam sayur di dalam air yang dicampurkan cuka selama beberapa minit. Selain kembali segar, cuka juga menghilangkan kotoran pada sayur.
Mengekalkan warna sayur hijau - Mudah saja, masukkan sedikit gula apabila memasak sayur hijau seperti sawi, bayam dan lain-lain.
Menghapuskan ulat pada daun sayuran - Bagi menghapuskan ulat yang biasanya terdapat pada sayur bayam, daum cekur adalah dengan merendamkan sayuran tadi dalam air beras sebelum diasingkan.
Mencuci sayuran yang kotor – Walaupun kita biasa berhati-hati ketika mencuci sayuran, kita berasa bimbang masih ada telur-telur ulat bersarang di tempat yang kita tidak nampak terutama sayuran berupa ulam. Caranya mudah saje, setelah bersihkan sayur tadi dengan air, rendamkan sayur tadi sehingga tenggelam dengan air dalam mangkuk atau besen yang semuatnya. Kemudian masukkan garam dan cuka. Biarkan beberapa ketika sayuran tadi terendam. Hasilnya, pasti mendapati kekotoran keluar dari sayuran tadi termasuk ulat-ulat, kutu dan sebagainya. Ulat-ulat tadi terlepas dari daun dan ini akan memudahkan untuk mencucinya.
Merangkupkan ulam – Rendam ulam selama beberapa minit dengan air yang telah dicampurkan dengan sedikit cuka dan perahan limau nipis. Biarkan seketika barulah diangkat.Ulam tetap segar walaupun telah lama dibeli.
Selamat mencuba..



Thursday 22 May 2014

Diari Suri

Assalamulaikum..w.b.t
Alhamdulillah syukur kehadrat ilahi, kini saya telah bergelar WAHM. Terlebih dahulu, saya ingin perkenalkan diri, nama saya Roszila binti Ibrahim berumur 32 tahun dan mempunyai 2 orang cahaya mata. Saya merupakan seorang surirumah sepenuh masa . Sebelum mempunyai anak memang saya bekerja tetapi setelah melahirkan anak pertama, saya mengambil keputusan untuk tidak bekerja dan ingin menjaga anak sendiri dan apa yang penting saya ingin melihat anak-anak membesar di depan mata. Menjadi surirumah adalah sesuatu yang menyeronokan tetapi kadang-kadang mendatangkan stress. Apapun saya gembira bersama anak-anak.
Pengalaman bekerja memang banyak kenangan manis antaranya bersama kawan-kawan yang satu kepala dengan kita. Di samping itu, kita dapat belajar pekara baru, menjadi seorang yang berdisplin, menepati masa dan macam- macam lagi. Masa makan atau masa rehat pun telah ditetapkan. Apabila memegang status surirumah, masa makan pun tidak menentu, apa yang penting saya mesti bagi makan orang tersayang dahulu. Kerja pula, tidak pernah habis dari pagi sampai malam. Ada saja hendak saya buat dan saya tidak suka tengok rumah bersepah. Di sini, anak- anak akan memerhati apa yang kita buat dan secara tidak langsung mereka boleh belajar sendiri atau mengikut apa yang kita buat. Maksudnya pekara- pekara yang positif harusah ditonjolkan dan mengelakkan melakukan pekara negetif.
Saya sememangnya tercari-cari kelas online untuk belajar. Sambil bersama anak- anak boleh isikan masa yang terluang dengan mengikui kelas online. Sebelum itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mentor Anys  Idayu Zakaria yang sudi mengajar saya. Kelas ini sesuai untuk suri bekerjaya yang sibuk dan surirumah seperti saya tanpa perlu keluar rumah. Masa pula ikut kita sendiri, kelas fleksibel dan boleh mula bila- bila masa. Di samping itu, kita juga dibekalkan dengan ebooks. Ebooks ini sangat membantu dan boleh dijadikan panduan serta terdapat tips menguruskan stress, tips sukses urus masa dan tips urus rumahtangga. Ramai yang menyangka surirumah sepenuh masa ada banyak masa tanpa pengurusan masa satu tugas pun tidak akan selesai.
 
Harapan saya semoga apa yang ingin capai akan terlaksana dengan izinNYA. Bagi mencapai sesuatu kita perlukan Doa Usaha Ikhtiar atau IstiQamah dan Tawakal. Sesungguhnya Allah swt adalah sebaik-baik perancang, mungkin takdir saya untuk menjadi surirumah. InsyaaAllah rezeki Allah itu maha luas samaada lambat atau cepat sahaja. InsyaAllah saya akan menjadi WAHM yang berjaya suatu hari nanti. Semoga apa yang saya usahakan ini bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi untuk orang-orang yang tersayang malah dapat memberi manfaat kepada orang lain. Amin.
 
Di sini, ada pantun untuk mereka yang ingin berhasrat menjadi WAHM.
Emak memetik bunga raya,
Diletakkanya di tepi perigi,
Kalau anda ingin berjaya,
Tetapkan matlamat rancang strategi.
 

 

Sunday 18 May 2014

PENGENALAN DIRI

Teks : Roszila Ibrahim

Assalamulaikum..

Pada saat entri pertama ini ditulis, anak saya tengah tidur. Biasalah anak-anak saya tidur siang hari, Jadi bolehlah buat kerja tanpa ada gangguan. Sebelum saya melangkah lebih jauh, ingin saya perkenalkan 2 cahaya mata, yang pertama Rania Zara 5 tahun dan Rayyan Zafran 3 tahun. Alhamdullilah syukur dapat melihat anak membesar di depan mata dan diberi kesihatan yang baik. Keputusan saya untuk tidak bekerja adalah semata-mata ingin menjaga sendiri dan ingin melihat proses pembesaran mereka.

Berbalik kepada entri ini, saya merupakan anak ke 4 daripada 7 adik- beradik dan mempunyai 3 orang kakak serta 3 adik lelaki. Ketiga-tiga kakak sudah bekahwin manakala ketiga-tiga ada lelaki tidak berumahtangga lagi. Bapa seorang pesara kerajaan dan ibu seorang surirumah sepenuh masa dan pada masa yang sama ibu berniaga kedai runcit yang dibuka pada tahun 1992 lagi. Manakala ketiga-tiga kakak saya juga surirumah tetapi yang menariknya mereka juga ibarat WAHM tetapi secara offline.

Di antara 7 beradik saya di antara yang dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading dan menutut di UUM. Selepas habis belajar saya bekerja di CIMB Bank dan apabila dapat anak pertama saya mengambil keputusan untuk tidak bekerja. Semasa awal-awal menjadi surirumah terfikir juga untuk membuat perniagaan maya ini tetapi saya tidak tahu untuk mula dari mana. Pernah memcuba berniaga tudung melalui fb tetapi tidak begitu menggalakkan oleh kerana tiada kesungguhan dan kurangnya ilmu. Tanpa ilmu kita tidak akan pergi jauh. Semua pekara yang kita ingin lakukan perlu ada ilmu.

Sekarang saya tetapkan nawaitu untuk berbisnes dan insyaAllah istiqamah dengan apa yang dirancang. Harapan saya supaya dapat menimba ilmu sebanyak- banyak daripada Anys Idayu Zakaria dan terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu. Saya bertekad untuk menjadi seperti Anys idayu yang telah berjaya sebagai WAHM. Melalui kelas ini, matlamat saya untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam selok belok berniaga kerana saya memang zero dalam pekara ini. Dalam masa yang sama juga, melalui kelas ini saya dapat bekenalan dengan yang lain.

Sesungguhnya Allah swt adalah sebaik-baik perancang. InsyaAllah rezeki Allah maha luas yang penting kita harus berusaha bersungguh-sungguh. Doa, Usaha, Ikhiar dan Tawakal pasti berjaya. Bak kata pepatah ‘Pengayuh Sayang Dibasahkan, Sampan Tidak Akan Sampai ke Seberang’ maksudnya cita-cita tidak akan tercapai jika malas berusaha. Semoga Allah mempermudahkan segala usaha saya.Amin. Akhir sekali terima kasih buat Ansy Idayu Zakaria.

Salam Perkenalan : -)