Thursday 24 July 2014

Amalan Pemberian Duit Raya

Teks: Roszila Ibrahim



Pemberian duit raya semakin subur dibudayakan di kalangan masyarakat setiap kali tibanya Aidilfitri. Bermacam-macam warna sampul duit raya. Teringat zaman kanak-kanak, suka sangat dapat duit raya dan kini giliran kita yang pemberi duit raya. Minggu depan syawal bakal menjelang tiba, pasti sudah ramai yang menukar wang sebagai duit raya. Setiap bank akan menyediakan wang kertas baru yang bernilai RM1, RM 5, RM10, RM 50 dan RM 100. Biasanya pelanggan akan menukar wang RM 1, RM 5 dan RM 10. Terlalu sedikit yang ingin menukar wang kertas RM 50 dan Rm 100. Kalau ada pun dikhususkan kepada anak sendiri, ibubapa dan datuk nenek. Jumlah wang yang ditukar bergantung kepada kemampuan.

Sudah menjadi tradisi apabila tibanya hari raya maka antara peruntukan yang perlu disediakan adalah duit raya untuk diberikan pada kanak-kanak. Sesuai dengan perubahan zaman, jika dahulu pemberian duit raya berbentuk kepingan duit syiling tetapi kini paling kurang duit kertas satu ringgit. Bagi nampak lebih menarik duit akan dimasukkan ke dalam sampul sebelum diberi kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak akan mengunjungi rumah-rumah disekitar kampung atau taman perumahan dengan tujuan utama bersalaman dan beraya dengan tuan rumah dengan harapan untuk memperolehi duit raya. Sikap dan telatah kanak-kanak sebenarnya menceriakan suasana hari raya aidilfitri yang disambut cuma sekali setahun. Amalan ini boleh mengeratkan hubungan silaturrahim dan semangat kekitaan sesama umat islam. Amalan pemberian duit raya juga merupakan konsep sedekah contohnya dengan niat memberi kepada kanak-kanak serta orang tua dan nilainya terpulang kepada keikhlasan dan kemampuan si pemberi.

Sepanjang bulan Syawal  ramai yang akan mengadakan rumah terbuka bertujuan meraikan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai dengan menyediakan juadah yang pelbagai jenis makanan dan kuih muih yang boleh dinikmati oleh tetamu yang hadir. Sewaktu majlis rumah terbuka juga duit raya akan diberikan kepada kanak-kanak yang turut hadir bersama-sama tetamu yang dewasa. Tetamu yang berkunjung ke rumah terbuka pula secara adat akan membawa duit raya dan diberikan kepada anak-anak tuan rumah dan kepada kanak-kanak lain yang turut berada di dalam majlis rumah terbuka tersebut


No comments:

Post a Comment